Kitab Ihya’ Ulum al-Din adalah antara karya agung Imam al-Ghazali bahkan boleh dikatakan karya agung dalam sejarah kesusastraan Islam. Sehingga kini, tiada sebuah karya yang komprehensif yang bisa menandingi Ihya’ khususnya dalam aspek mengemukakan kerangka penyelesaian permasalahan kerohanian dan hal kehidupan umat Islam.
Tidak berlebihan jika dikatakan bahawa hal yang melatarbelakangi penulisan Ihya’ banyak persamaannya dengan apa yang dihadapi oleh umat Islam zaman ini.
Golongan yang dikelompokkan sebagai ilmuwan kini, banyak yang keliru apalagi orang awam. Pemahaman dan tafsiran Islam secara terpisah-pisah, dikotomis, sembarang, ego, hawa nafsu, tanpa kajian yang mendalam serta kerangka kesatuan menjadikan pemahaman dan amalan Islam yang sempit.
Penekanan terhadap persoalan hukum-hukum secara tidak adil dan tepat, kecenderungan memperdebatkan isu-isu yang tidak menyumbang kepada pembangunan ilmiah dan kemajuan Islam yang sempurna serta pengekploitasian pendekatan retorik yang berlebihan dan kosong banyak menyumbang kepada fenomena ini. Akhirnya kekeliruan dalam pelbagai aspek kehidupan berleluasa atas nama ilmu.
Tambahan pula, para ilmuwan pewaris Nabi s.a.w. sudah berkurang, dan sebaliknya para ulama jadian, ulama karbitan dan Ulama Dunia diangkat memimpin. Hal Ini telah pernah tetjadi di zaman Imam al-Ghazali sekitar 1000 tahun yang lalu Dan pastinya ia lebih parah pada masa kita kini.
Kesemua krisis ini adalah diantara faktor yang mendorong Ihya’ ditulis. Penulisan Ihya’ bukan suatu penulisan yang berupa latihan aqli semata-mata namun misinya jelas untuk menyumbang kepada penyelesaian kemelut manusia di dunia ini. Dengan suatu kerangka yang komprehensif Ihya’ mengemukakan jalan penyelesaiannya. Dasar permasalahan dikenal pasti, jelas dan tahap serta prosesnya disusun dan diperincikan secara mendasar.
Dalam pendahuluan Kitab Ihya’, Imam al-Ghazali mengungkapkan betapa ramai di kalangan para penggiat ilmu yang keliru dan seakan tidak mampu mengenal pasti yang mana dan apakah ilmu yang benar dan mana pula yang sebaliknya, sehingga terjadilah pelbagai dilemma. Ada yang menganggap kejahilan sebagai ilmu lalu mereka mempertahankannya, dan diwaktu yang sama ada kelompok yang sadar dan insaf tentang ilmu yang benar, lalu ikhlas berusaha memahami dan menghayatinya dengan sebenar-benarnya.
Akan tetapi sayangnya golongan yang seperti ini dianggap sebagai golongan yang tersasar, tersisihkan dan dimarginalkan. Semua ini, pada pandangan Imam al-Ghazali, adalah suatu penyakit yang telah merebak bukan hanya di kalangan para ‘ilmuwan’ (baca: Ilmuwan palsu/ilmuan dunia) bahkan di kalangan masyarakat awam jua. Golongan yang berpenyakit ini tidak mampu menyadari jalan yang benar menuju ke Akhirat, ditambah lagi dengan berkurangnya para Ulama Pewaris Nabi s.a.w. yang dapat dijadikan rujukan dan panduan. Dilain hal pada masa yang sama bertambahnya para ‘ilmuwan’ palsu dan keliru saban hari, diangkat dan ditampilkan, lalu mempengaruhi dan berpengaruh dalam masyarakat yang jahil, sehingga suatu yang munkar diangkat sebagai makruf dan begitu juga sebaliknya.
Hasilnya ilmu-ilmu keagamaan serta sinarnya lesu dan pudar. Hakikat sebenar ilmu dan kefahaman yang sempurna tentang agama dilupakan. Dengan itu penulisan Ihya’ sangat relevan dan pengkajian terhadapnya dalam konteks permasalah umat sekarang ini, sangat membantu dalam rangka mengenal pasti yang komprehensif dalam pemulihan umat Islam.
Imam al-Ghazali menegaskan bahawa jalan menuju Akhirat bisa dibahagikan kepada 2 bahagian yaitu ilmu Mu‘amalat, yang menitikberatkan pada pengamalan dan penghayatan, dan ilmu Mukashafah, yang menitikberatkan pada pengenalan Allah (ma‘rifatullah). Dari kedua kategori ini, kitab Ihya’ menumpukan kepada kategori Mu‘amalat dan bukannya Mukashafah karena sebagai suatu yang bersifat ‘kurniaan Allah’. Ilmu Mukashafah adalah suatu yang di luar konteks usaha atau jalan sebagaimana ilmu Mu‘amalat.
Oleh karena ilmu Mu‘amalah itu terbagi kepada amalan zahir dan amalan batin. Sedangkan setiap amalan zahir dan batin terbagi masing-masing pula kepada 2 bagian; Zahir kepada Ibadah dan Adat, Batin kepada terpuji dan tercela. Maka keseluruhan kitab Ihya’ disusun berdasarkan pembagian ini.
Ihya’ Ulumuddin dibagi kepada 4 kitab, dan setiap kitab tersusun dari 10 bab. Pembagian ini disusun berdasarkan tuntutan hakiki pembangunan ummah. Misi keberadaan manusia untuk sampai kepada penciptanya digarap dan diolah serta dibahas satu persatu. Ibadah dan hubungan muamalah manusia dibahas, bukan pada nilai zahirnya tetapi ditekankan pada hakikat batinnya yang umumnya diabaikan oleh para fuqaha.
Sifat-sifat tercela yang perlu dijauhi dan sifat-sifat terpuji yang sepatutnya dimiliki diuraikan hakikat, kaedah dan tanda pencapaiannya. Sesungguhnya madrasah Ihya’ adalah madrasah yang benar-benar memandu umat Islam menuju akhirat. Ia adalah madrasah yang coba menempatkan usaha dan jalan kerohanian pada tempat yang sepatutnya, tempat yang dilihat oleh kebanyakan Ulama Dunia sebagai terpencil dan tersisih. Apalagi dalam dunia modern dengan pelbagai kekeliruan dalam pelbagai bidang kehidupan kini.
Semoga Allah SWT merahmati pengarangnya Imam Hujjah al-Islam Abu Hamid al-Ghazali dan semoga sumbangan jariah Ihya’ ini terus dapat dimanfaatkan.
0 komentar:
Posting Komentar